Program Penyerahan dan Penanaman Anak Benih Pokok Herba di Kampung Permatang Pasir
Pada 27 Mei 2011 telah dijalankan program penyerahan dan penanaman anak pokok herba di kampung perintis iaitu di Kampung Permatang Pasir. Penduduk kampung yang terlibat turut dibantu oleh pembantu pelajar telah menanam anak benih pokok herba di perkarangan rumah. Pada masa yang sama, peserta juga diberi penerangan mengenai cara penjagaan tanaman tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah yang dihadapi iaitu kekangan untuk mendapatkan anak benih herba antaranya terung, saderi (daun sup), pudina, dan sebagainya. Oleh itu, pemberian benih-benih tersebut akan diberikan setelah pihak pembekal membekalkan anak benih yang diperlukan. Masalah lain yang dihadapi ialah tanah yang kurang sesuai untuk tanaman seperti keadaan tanah yang berpasir menyebabkan pihak penganjur terpaksa menyediakan tanah kompos yang banyak. Walau bagaimanapun, semua kekangan ini dapat diselesaikan. Secara keseluruhannya, aktiviti ini berjalan dengan lancar hasil kerjasama pihak penganjur dan peserta yang terlibat.
Aktitviti menanam disalah sebuah rumah peserta
Para peserta diberi penerangan tentang cara penjagaan, kegunaan dan khasiat herba tersebut oleh pihak penganjur
Antara tanaman yang ditanam dalam tanah dan pasu yang mengikut kesesuaian tanaman berkenaan
Pengagihan Pasu-Pasu kepada Penduduk Kampung Permatang Pasir pada 26 Mei 2011
Pengagihan pasu dilakukan lebih awal bagi memudahkan proses penanaman pokok. Jumlah pasu-pasu dibekalkan kepada penduduk mengikut jumlah tanaman herba yang tiada di rumah-rumah peserta. Di samping itu, para pembantu pelajar mengenalpasti rumah peserta yang berdekatan antara satu sama lain bagi memudahkan pengagihan kumpulan pelajar melakukan pergerakan dari satu rumah ke rumah yang lain untuk menanam tanaman herba. Pada 27 Mei 2011 aktiviti menanam tanaman herba berjalan dengan lancar dan tidak mengambil masa yang terlalu lama seperti yang dijangkakan sebelum ini. Hal ini menunjukkan bahawa matlamat utama aktiviti ini telah tercapai untuk peringkat awal.
Para pembantu pelajar sedang mengagihkan pasu dari rumah ke rumah
Pembantu-pembantu pelajar mengenalpasti tuan rumah dan sejumlah pasu yang wajar diberikan kepada tuan rumah berkenaan untuk mengelakan kekurangan atau kelebihan pasu yang mungkin terjadi
Bengkel Perkampungan Lestari: Komuniti dan Biodiversiti di Kampung Permatang Pasir, Balik Pulau pada 22 Mei 2011
Pengenalan dari Dr Salfarina Abd Gapor dan Tuan Haji Othman Nasir
Peserta-peserta yang terlibat
Bengkel Perkampungan Lestari: Komuniti dan Biodiversiti di Kampung Permatang Pasir diadakan untuk proses sosiolisasi tentang tanaman herba di perkarangan rumah. Peserta yang terlibat adalah terdiri daripada penduduk kampung yang berminat untuk menyertai projek penanaman herba di perkarangan rumah mereka.
Objektif bengkel ini adalah seperti berikut:
- Mengembalikan semula konsep perkarangan di kampung-kampung, Balik Pulau.
- Menggalakkan penanaman pelbagai jenis herba untuk mengekalkan warisan pengetahuan tentang kegunaan tanaman herba.
- Untuk mempromosikan perkembangan pembangunan biodiversiti tempatan di Balik Pulau.
- Untuk mengeratkan hubungan masyarakat kampung melalui program perkongsian benih tanaman herba.
Semasa bengkel ini, beberapa orang pembantu pelajar telah membentangkan mengenai 23 tanaman herba termasuk cara penanaman, kaedah penjagaan, kegunaan herba dan khasiatnya.
Pembentangan oleh saudari Nur Azrina bt Asmawi tentang tanaman cili, terung, selasih dan ulam raja
Pembentangan oleh saudari Nurul Farhana bt Ramli tentang tanaman limau purut, limau kasturi, limau nipis dan pokok kari
Pembentangan oleh saudari Nazhatul Shima bt Mat Saad tentang tanaman cekur, pegaga, serai makan, serai wangi, stevia dan daun saderi
Pembentangan oleh saudara Muhamad b. Ismail@Adnan tentang tanaman kantan, halia, kunyit dan lengkuas
Pembentangan oleh saudari Nur Bahiyah bt Mohd Shukuri tentang tanaman pandan, sirih, pudina, selom dan kesom
En. Zamberi yang sedang mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab
Sesi penyerahan sijil
Seterusnya sesi soal jawab diadakan antara peserta dan pihak penganjur yang membincangkan tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh peserta. Hasil daripada bengkel ini, para peserta telah jelas dengan objektif projek ini dan dapat meningkatkan pemahaman tentang proses penanaman dan penjagaan pokok di perkarangan rumah peserta. Aktiviti penyerahan dan penanaman anak-anak benih pokok herba akan diadakan pada 27 Mei 2011.
Persiapan untuk Bengkel Perkampungan Lestari: Komuniti dan Biodiversiti di Kampung Permatang Pasir
Persiapan buku panduan dan pemfailan
Buku panduan untuk peserta bengkel yang telah dibuat
Pada 20 dan 21 Mei 2011 pembantu-pembantu pelajar membuat persiapan untuk bengkel Perkampungan Lestari: Komuniti dan Biodiversiti di Kampung Permatang Pasir yang bakal diadakan pada 22 Mei 2011. Antaranya adalah penyediaan buku panduan tanaman herba bagi memudahkan para peserta membuat rujukan pada hari bengkel tersebut dan sebagai panduan pada masa akan datang. Persiapan-persiapan lain yang telah dibuat adalah seperti fail dan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan kepada peserta. Senarai nama-nama peserta juga disiapkan bagi memastikan proses pendaftaran dapat berjalan dengan lancar. Sehari sebelum bengkel bermula, segala kelengkapan dan keperluan telah lengkap disediakan.
Tinjauan di Kampung Permatang Pasir pada 18 Mei 2011
Antara rumah-rumah peserta yang terlibat:
Tinjauan dibuat oleh pembantu pelajar
Pembantu-pembantu pelajar telah membuat tinjauan di Kampung Permatang Pasir bagi mengenalpasti penduduk kampung yang berminat untuk terlibat dalam projek penanaman herba di perkarangan rumah. Tinjauan juga dilakukan bagi mengetahui jenis-jenis tanaman herba yang ditanam di sekitar rumah mereka untuk memudahkan proses pemberian benih-benih tanaman herba. Antara tanaman herba yang ditanam oleh para peserta projek bagi kegunaan harian mereka adalah serai makan, kantan, lengkuas, kunyit, halia, pokok kari, ulam raja dan sirih.
Dari kiri ke kanan: Serai (Cymbopogon Citrates, DC.), Kantan (Pheaomeria Speciosa Koord), Lengkuas (Alpinia Galanga Stuntz)
Proses Pemetaan di Kampung-kampung Balik Pulau
Pembantu-pembantu pelajar dibantu oleh En. Zainuddin Husin dan Tuan Hj. Aziz Ibrahim untuk membuat pemetaan bagi Kampung Permatang Pasir. Tujuan pemetaan ini adalah bagi memudahkan pembantu pelajar dan penyelidik membuat tinjauan bagi mengenalpasti penduduk yang berminat untuk terlibat dalam projek penanaman herba di perkarangan rumah.
Pemetaan di Kampung Permatang Pasir dibantu oleh Tuan Hj. Aziz Ibrahim dan En. Zainuddin Husin
Contoh Pemetaan Kampung Permatang Pasir
Seterusnya, proses pemetaan di kampung-kampung lain dibantu oleh ahli JKKK kampung masing-masing.
- Kampung Pulau Betong dibantu oleh En. Sukiman bin Husain
- Kampung Perlis dibantu oleh Tn. Hj. Hamzah bin Md Ali
- Kampung Pondok Upeh dibantu oleh En. Ahmad bin Din
- Kampung Simpang Empat dibantu oleh En. Ali bin Md. Zain
- Kampung Sungai Burung dibantu oleh En. Halid bin Awang Hat
- Kampung Genting dibantu oleh En. Rosman bin Long
- Kampung Kongsi dibantu oleh Tn. Hj Yusuff bin Hj Hassan
- Kampung Titi Teras dibantu oleh Tn. Hj Kassim bin Darus
Pemetaan di Kampung Kongsi
Pemetaan di Kampung Pulau Betong
Tinjauan dibuat sekitar Kampung Titi Teras dengan bantuan JKKK kampung yang menerangkan jalan-jalan sekitar kampung bagi memudahkan pergerakan pembantu pelajar untuk melakarkan peta kampung
Pemerhatian dibuat lebih terperinci mengenai jumlah rumah dan kedudukan rumah yang berdekatan untuk dilakarkan
Walau bagaimanapun, para pembantu pelajar tidak dapat membuat lakaran kampung dengan tepat dan lengkap. Hal ini kerana, kampung-kampung tersebut mempunyai mukim-mukim yang terlalu besar dan memerlukan masa yang lebih panjang bagi melengkapkan keseluruhan pemetaan di kampung-kampung tersebut.
Pemilihan Anak Benih di Jabatan Pertanian, Relau
Pada 13 Mei 2011, pembantu-pembantu pelajar dan para penyelidik yang terlibat dalam projek ini telah melawat ke Taman Herba Pusat Pertanian, Relau untuk mengenalpasti dan memilih anak benih yang sesuai untuk projek ini. Pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Relau turut membantu dalam proses pengenalpastian dan pemilihan anak benih yang baik. Lawatan ini memberi peluang kepada para pembantu pelajar untuk lebih mengenali jenis-jenis tanaman herba supaya proses selanjutnya berjalan lancar. Antara tanaman yang disediakan oleh pihak Taman Herba Pusat Pertanian, Relau adalah pegaga, sirih, kunyit, kari dan pandan.
Dari kiri ke kanan: Pegaga (Centella Asiatica), Sirih (Piper Betle L.), Kunyit (Curcuma Domestica)
Kronologi Penanaman Pokok Herba
Penanaman anak pokok herba dimulakan dengan pemilihan anak benih pokok herba di Taman Herba di Pusat Pertanian Relau. Terdapat juga beberapa anak benih pokok herba yang disemai di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Antaranya ialah serai, sirih, pandan, terung, pegaga, ulam raja, dan kantan. Anak benih pokok herba ini kemudiannya dibawa ke Kampung Permatang Pasir untuk di tanam di perkarangan rumah penduduk Kampung Permatang Pasir.
Pemilihan anak benih di Pusat Pertanian Relau
Tinjauan dilakukan untuk mengetahui jenis-jenis tanaman herba yang ditanam di sekitar rumah peserta
Bengkel diadakan bersama peserta-peserta yang terlibat (penduduk kampung yang berminat untuk program penanaman pokok herba)
Penyediaan tanah dan pasu-pasu untuk penanaman anak benih
Aktiviti penanaman pokok di rumah peserta – pembantu pelajar membantu penduduk kampung menanam pokok herba
Hasil penanaman anak-anak benih di rumah-rumah peserta
Pemantauan dibuat di rumah peserta-peserta setelah dua minggu pokok ditanam
Bengkel Pengenalan Projek untuk Pembantu Pelajar
Bengkel sedang dijalankan
Pada 10 dan 11 Mei 2011 telah diadakan bengkel untuk pembantu-pembantu pelajar dalam mengendalikan projek yang akan dijalankan. Para pembantu pelajar diberi penerangan mengenai 2 projek iaitu projek Peneraju Kecemerlangan Lestari: Memaparkan Balik Pulau sebagai Kampung Lestari dan projek Kerentanan dan Adaptasi Masyarakat tentang Bencana Banjir. Projek Peneraju Kecemerlangan Lestari: Memaparkan Balik Pulau sebagai Kampung Lestari terbahagi kepada 3 kluster iaitu Kluster Komuniti & Biodiversiti, Kluster Meningkatkan Sosio-Ekonomi dan Kluster Sosio-Budaya. Pembantu pelajar juga diberi penerangan tentang cara penanaman, penjagaan, kegunaan dan khasiat herba oleh wakil pegawai dari Jabatan Pertanian. Ketua Penyelidik bagi kluster Komuniti dan Biodiversiti ini adalah Dr. Salfarina Abdul Gapor. Fokus utama projek ini adalah 12 tanaman herba untuk 1 rumah sebagai konsep perkarangan (“Home Garden”). Hasil daripada bengkel ini, pembantu-pembantu pelajar lebih memahami dengan lebih jelas tentang objektif dan peranan masing-masing semasa projek ini dijalankan serta dapat mengenali antara satu sama lain.
kluster ni active betul r!!!!
ReplyDeletewell done...!!good job guys........ ♥♥♥♥
keep it up!!!!!
Great stuff. Bravo. Teruskan usaha murni anda semua.
ReplyDeletepermatang tengah xde ke? kesian permatang tengah... haha
ReplyDelete