Ekonomi Baru dan Masa Depan Balik Pulau


Perkampungan nelayan Pulau Betong

Aktiviti-aktiviti utama ekonomi Balik Pulau ialah pertanian & perikanan, pendidikan, pelancongan dan perusahaan-perusahaan lain kecil & sederhana.

Pasar ikan Pulau Betong

Jeti Pulau Betong

Sawah-sawah padi, ladang-ladang tanaman dan kebun-kebun buah masih mewarnai pemandangan sekitar Balik Pulau. Di sepanjang Jalan Balik Pulau, Jalan Bharu dan Jalan Sungai Rusa pula, terdapat warung-warung makan, gerai-gerai buah, kedai-kedai perkhidmatan dan pasar-pasar mini. Sektor pembuatan pula tertumpu kepada produk-produk makanan seperti keropok, sos, air minuman dan buah pala serta tak lupa juga kraftangan yang diusahakan oleh entiti-entiti seperti Koperasi Usahawan Kampung Balik Pulau (KUKAM) di Kampung Perlis, Pulau Betong dan Craft Batik di Teluk Bahang.

Keropok pisang dan sos tomato keluaran usahawan Balik Pulau

Kek Cawan, Kuih Peniram, Karipap Mini keluaran usahawan Balik Pulau

Tukang cucuk Satay Balik Pulau

Pembuat Bahulu Balik Pulau

Lebih separuh penduduk Balik Pulau pula berulang-alik melalui Jalan Tun Sardon dan Jalan Genting untuk bekerja atau berniaga di bandar-bandar berdekatan seperti George Town dan Kawasan Perindustrian Bayan Lepas.

Contoh lokasi program Homestay

Seawal tahun 2005, Kampung Perlis yang berdekatan dengan perkampungan nelayan di kawasan Pulau Betong dipilih sebagai salah satu lokasi program Homestay kelolaan Koperasi Pelancongan Pulau Pinang Bhd (KOPEL). Di puncak Bukit Relau pula, sebuah pusat pemandangan panorama Balik Pulau bernama Anjung Indah telah dinaik taraf pada tahun 2007, melengkapkannya dengan fasiliti awam seperti surau & tandas, serta gerai-gerai makanan dan buah-buahan tempatan. Tumpuan pelancongan yang lain termasuklah sebuah Taman Negara seluas 1,266 hektar dan Taman Rimba seluas 32 hektar di Teluk Bahang, Pantai Pasir Panjang di Pulau Betong (yang juga menghoskan Pusat Latihan Khidmat Negara White Resort) dan beberapa resort swasta di lerengan bukit-bukit dari Teluk Bahang hingga ke Bukit Genting.

Lewat tahun 2008, sebuah kompleks pasar awam moden (yang terbesar di Pulau Pinang) telah dibuka  menyediakan lebih 150 gerai jualan basah & kering, fasiliti dewan & surau serta sebuah pusat khidmat Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) & pusat khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Barat Daya, dan disebelahnya,  sebuah  hab  bas awam Rapid Penang yang menghubungkan Balik Pulau dengan bandar-bandar sekitarnya seperti Paya Terubong, Air Itam, Georgetown,  Relau,  Sungai Ara,  Teluk Kumbar dan Bayan Lepas dalam lingkungan 20-40 minit perjalanan. Di perkarangan ini jugalah diadakan sebuah Pasar Tani FAMA setiap pagi hari minggu, dan sebuah Pasar Malam setiap hari Jumaat, yakni di kawasan-kawasan letak kereta yang luas.

Lanjutan daripada penubuhan pusat-pusat pendidikan khusus di Balik Pulau sejak era 80-an lagi, yang kini termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Pusat Giat MARA, Kolej Kemahiran Tinggi Balik Pulau, Island College of Technology dan Sekolah Teknik Balik Pulau, Balik Pulau akan menyaksikan lebih banyak institusi-institusi pendidikan khusus seperti Sekolah Agama al-Mashoor, Politeknik Balik Pulau, Prince of Wales International School dan khabarnya beberapa buah universiti yang akan mula bertapak di Balik Pulau dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment